Jumaat, 26 November 2021

7 didenda RM3,500.00 kerana merusuh

TAWAU : Tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang video rakaman pergaduhan mereka tular di media sosial baru-baru ini, didenda RM3,500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh di Jalan Persisiran, dekat sini.

Mereka ialah Muhammad Yusof Labbang, 34; Mohd Ridzwan Samo Abdullah, 36 (Indonesia); Mohd Irwan Mahmud Muli, 36; Mohd Asran Sussa, 23; Fadilah Abdul Latif, 38; Hariyanshah Hasan, 23; dan Jumadi Baba, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati bersama-sama melakukan kesalahan merusuh dan kekerasan antara satu sama lain di Jalan Persisiran, di sini, pada jam 11.30 pagi 22 November lalu dan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Muhammad Yusof, Mohd Irwan, Hariyanshah dan Mohd Ridzwan Samo bagaimanapun membayar denda berkenaan manakala yang lain gagal membayar denda.

Sementara itu, Mohd Ridzwan Samo yang juga pemegang pasport Indonesia dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Aslinah Asikin manakala semua tertuduh diwakili Jhesseny Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Terdahulu satu rakaman video berdurasi 33 saat memaparkan insiden pergaduhan tular di media sosial dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan kes tarik kereta.

Susulan itu, polis berjaya menahan kesemua suspek termasuk salah seorang yang tampil menyerah diri di IPD Kota Kinabalu.

Rabu, 21 Ogos 2019

Lelaki hidap sawan ditemui lemas

TAWAU: Luluh hati seorang ibu melihat anak lelakinya lemas di perkampungan atas air di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini, pagi tadi.


Mayat mangsa dikenali sebagai Herman Ismail, 25, yang lengkap berpakaian ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung pada kira-kira jam 8 pagi, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Difahamkan mangsa dipercayai terjatuh dari rumahnya dua jam sebelum mayatnya ditemui.

Ibu mangsa, Banjiline Licanal, 50, berkata ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kejadian itu.

“Pada mulanya saya tidak percaya anak saya lemas tetapi sebaik melihat jasadnya tidak lagi bernyawa, jantung saya bagai hancur berkecai.

“Memang dia ada penyakit sawan dan baru kelmarin saya sempat belikan ubat kerana terpaksa bekerja, tidak sangka pula hari ini dia pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tawau, di sini, hari ini.

Banjiline berkata, dia bersama anak bongsu daripada empat beradik itu hanya tinggal berdua selepas kematian suami enam tahun lalu manakala anak yang lain masing-masing sudah berkeluarga.

Beliau berkata, walaupun anaknya mempunyai penyakit tetapi dia seorang yang rajin bekerja selain taat serta mendengar kata.

“Petang semalam, arwah ada memberitahu sedang mengumpul wang untuk membelikan saya telefon bimbit baharu sebagai hadiah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Anak Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kes itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terjatuh ketika berada di bilik air sebelum ditemui lemas oleh orang kampung.

“Mangsa juga ada penyakit sawan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Selasa, 7 Mei 2019

Bekas pengetua madrasah dipenjara 3 tahun kerana kelucahan melampau

TAWAU: Seorang bekas pengetua sebuah madrasah, di sini, dihukum penjara tiga tahun atas tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajar bawah umur, tiga tahun lalu.


Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus menjatuhkan hukuman itu terhadap Maznan Omar, 37, selepas tertuduh didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan pada Jun 2016.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara berasingan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajar lelaki berusia antara 14 dan 15 tahun di sebuah rumah di sini, antara jam 11 pagi hingga 10.20 malam pada Jun 2016.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung dengan tertuduh kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 7 Disember 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Acho yang hadir bagi pihak peguam Mohamad Abdul Karim.

Sumber : Berita Harian

Khamis, 25 April 2019

Pemandu prebet sapu terlampau

SEMPORNA : SEORANG wanita menempuh detik cemas apabila dicabul dan hampir dirogol ketika menggunakan khidmat kereta sapu di Jalan Simpang Ladang Kelapa Sawit, Kampung Tagasan, Semporna, semalam.


Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Kampung Bubul Lama, pada kira-kira jam 11 pagi.

Difahamkan, mangsa berusia 22 tahun menaiki kereta sapu jenis Proton Saga Iswara Aeroback berwarna perak sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan di pertengahan jalan berhampiran simpang masuk ladang kelapa sawit.

Sumber memberitahu, pemandu terbabit dikatakan bertindak mencium mangsa beberapa kali, namun mangsa melawan sehingga menyebabkan dia ditumbuk.

“Mangsa terus melawan apabila suspek bertindak membuka seluar dan cuba merogolnya.

“Selepas hampir 20 minit bergelut, suspek mengalah sebelum meminta maaf kepada mangsa dan menurunkannya di tepi bulatan berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Semporna,” katanya.

Mangsa kemudian menghubungi kakaknya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Semporna, kira-kira jam 2.50 petang hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek mempunyai ciri-ciri seperti berkulit gelap, berambut pendek, mata kemerahan dan berbadan sederhana, serta bertutur dalam loghat tempatan.

“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat dan usaha sedang giat dijalankan bagi memberkas suspek terbabit,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Ahad, 24 Mac 2019

Pelajar kolej maut, kereta langgar pembahagi jalan

TAWAU: Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Batu 13 Jalan Apas, berhampiran Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), dekat sini petang tadi.


Dalam kejadian pada jam 2.10 petang itu, Mohammad Shahrul Nizam Husin, 18, yang memandu kereta jenis Honda City milik guru wanita yang turut bersamanya dikatakan dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.

Beliau berkata, kereta mangsa kemudiannya turut berpusing beberapa kali lalu melanggar longkang sebelum menaiki cerun di bahagian bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa tercampak keluar daripada kereta sebelum terjatuh ke dalam parit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Guru wanita yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Segangan Lahad Datu itu tidak memakai tali pinggang keledar selain tidak memiliki lesen memandu.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Khamis, 21 Mac 2019

Sudahlah lesen tamat tempoh, angkut diesel tanpa kebenaran

TAWAU: Sebuah kapal kargo bukan saja membawa muatan 55,000 liter diesel tanpa kebenaran, tetapi juga beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh.


Berikutan itu, kapal berkenaan di tahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika berada di perairan Sungai Serudong, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi, Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin, berkata kapal kargo tempatan itu ditahan sepasukan anggotanya yang menjalankan Ops Pluto Timur dan Ops Maharlika 2 pada kira-kira 3.20 petang.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati juragan bersama empat kru warga tempatan berumur 34 hingga 72 tahun berada dalam bot berkenaan.

“Selepas pemeriksaan lanjut, kita dapati lesen kapal kargo terbabit sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui sejak 31 Mei 2018, selain lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tamat tempoh pada 26 Februari 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Berikutan itu, Mohd Yusri berkata, juragan dan kru ditahan manakala kapal kargo dan barang rampasan yang dianggarkan berjumlah RM350,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO),” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Rabu, 20 Mac 2019

Lelaki sesak nafas dalam pesawat meninggal dunia

TAWAU: Seorang lelaki yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang meninggal dunia dalam pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Tawau, petang tadi.


Dalam kejadian jam 3.55 petang itu, Kasim Kastubi, 59, dilaporkan sesak nafas sebaik duduk dalam pesawat yang dijadual terbang ke Kuala Lumpur sebelum disedari anak saudaranya dan memaklumkan kepada kru pesawat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata bantuan pernafasan serta oksigen segera diberi sebelum mangsa dibawa ke bangunan terminal untuk bantuan kecemasan.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Balung.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Fadil berkata, mangsa yang tinggal di Taman Ria 3 di sini, bersama 11 ahli keluarga dikatakan mahu menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di Hulu Langat, Selangor.

“Mangsa yang tidak bekerja pernah menjalani pembedahan di kaki kanan akibat penyakit yang dihidapinya,” katanya

Sumber : Berita Harian Online