Isnin, 27 Ogos 2018

Tak mengaku salah guna kuasa

TAWAU : Bekas pengetua cemerlang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Tawau, terhadap tiga pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pembekalan peralatan pejabat dan alatan untuk keceriaan sekolah bernilai RM12,556.90.


Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abaka di Tawau, Zahba Selamat, 64, didakwa mengikut Seksyen 23 (1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh didakwa mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan memilih syarikat Warisan Ledang Enterprise milik anaknya, untuk membekalkan alatan untuk keceriaan sekolah berjumlah RM2,702.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di premis sekolah berkenaan pada 24 Februari 2012.

Tertuduh turut didakwa membuat keputusan memilih syarikat sama untuk membekalkan alatan pejabat di SMK Abaka melalui lima pesanan sekolah bertarikh 27 Februari 2012 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM7,116.10.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan syarikat milik anaknya itu untuk membekalkan alatan pejabat melalui tiga pesanan sekolah bernilai RM2,738.80 pada 1 Oktober 2012.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen (Rasuah) Tawau, Abu Bakar Manat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan 31 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes. - Harian Metro Online

Rabu, 25 Julai 2018

AKAUN SKIM PIRAMID MONSPACE GROUP DIBEKUKAN

PUTRAJAYA : Sebanyak 72 akaun bank skim piramid Monspace Group  membabitkan 25 akaun syarikat dan 47 akaun individu bernilai RM5.867 juta dibekukan dalam Ops Coin yang dijalankan ke atas 16 premis berkaitan syarikat itu semalam.


Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata serbuan tersebut melibatkan sebuah premis perniagaan syarikat itu di Ipoh, Perak dan 15 lagi di Lembah Klang meliputi empat premis perniagaan, lapan kediaman dan tiga pusat pelayan internet (server).

Katanya komputer dan pelbagai produk syarikat itu bernilai RM980,352 turut dirampas, selain menyita mata wang asing terdiri daripada Euro, Yuan dan Dolar Amerika bernilai RM93,879.20.

"Sebanyak 26 buah kenderaan dengan nilai RM6.2 juta telah dibekukan daripada transaksi pindah hak milik," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya operasi itu turut membabitkan National Revenue Recovery Enforcement Team (NRRET) Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia.

Mohd Roslan berkata Ops Coin itu dijalankan hasil siasatan yang dijalankan sejak tahun lepas susulan enam aduan yang diterima daripada mangsa skim tersebut.

"Lima aduan berkenaan tidak mendapat pulangan daripada pelaburan yang dibuat, manakala satu lagi mengenai penggunaan logo BNM dalam laman web syarikat itu untuk meyakinkan orang ramai," katanya.

Ditanya sama ada pengasas syarikat itu akan ditahan, katanya buat masa ini tiada tangkapan dibuat berikutan wanita berusia 48 tahun yang bergelar Datuk Seri itu memberikan kerjasama yang baik dalam siasatan.

"Bagaimanapun, kita telah mengambil tindakan membekukan perjalanan dia ke luar negara. Namanya telah disenarai hitam Jabatan Imigresen," katanya.

Katanya kes disiasat dibawah Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.
 
Ditanya mengenai modus operansi syarikat itu, Mohd Roslan berkata seorang anggota perlu melabur antara RM500 sehingga RM5,000 dan mereka perlu mencari dua lagi anggota  bagi mendapatkan semula modal dan pulangan mereka.

Pada Mei tahun lepas, dilaporkan seramai 71 warga China membuat laporan polis terhadap MonSpace di Balai Polis Bukit Jalil selepas mendakwa wang simpanan mereka ditipu syarikat itu.-- BERNAMA

Isnin, 12 Mac 2018

Lelaki maut dirempuh Perodua Myvi

TAWAU : Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 20 Jalan Bombalai-Merotai dekat sini, petang tadi. 

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa lelaki berumur 35 tahun berasal dari Kampung Kuala Merotai meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan dada selain beberapa kecederaan pada anggota badan. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua MyVi yang dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun dari arah Bombalai menghala ke Merotai.
"Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua MyVi dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan motokar yang dipandunya telah masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.
"Akibat rempuhan itu mangsa tercampak lebih kurang 14 meter daripada kedudukan motorsikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian sementara kereta MyVi terbabas ke dalam parit sebelah kanan jalan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, bagaimanapun pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Tawau untuk bedah siasat.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.