KUNAK: Polis hari ini menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul dan mendera dua anak kandungnya menggunakan besi penyodok pasir.
Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Sungai Atas dekat sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.
Suspek ditahan susulan laporan polis dibuat isterinya yang bekerja sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur berhubung dakwaan dua anaknya di bawah jagaan lelaki terbabit dipukul serta didera pada 19 September lalu.
Difahamkan, suspek dikatakan memukul anak perempuannya berusia 12 tahun dengan tangan kerana berang kanak-kanak itu keluar rumah dan terlupa menutup api nasi yang sedang ditanak hingga mengakibatkan nasi itu hangus serta hampir berlaku kebakaran.
Pada tarikh sama, suspek dikatakan memukul anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan penyodok pasir kerana tidak tahu kakaknya keluar rumah.
Berdasarkan pemeriksaan polis, kedua-dua mengalami kecederaan ringan pada bahagian tubuh.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek mengaku ada memukul dua anaknya tetapi menafikan kerap berbuat demikian.
"Berikutan itu, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Nasaruddin berkata, pasangan itu dalam proses perceraian sejak dua tahun lalu selepas berkahwin hampir 15 tahun dan mempunyai tiga anak berumur lima, sembilan dan 12 tahun.
"Hak penjagaan anak masih belum ditentukan oleh mahkamah," katanya.
Kelmarin, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak membantu menghantar dan mengiringi perjalanan ibu dan tiga anak itu dari Kunak ke Lapangan Terbang Tawau untuk mengambil penerbangan ke ibu negara.
Wanita terbabit dengan dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pulang ke Sabah beberapa hari lalu untuk membawa anaknya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.- BH Online