Rabu, 21 Ogos 2019

Lelaki hidap sawan ditemui lemas

TAWAU: Luluh hati seorang ibu melihat anak lelakinya lemas di perkampungan atas air di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini, pagi tadi.


Mayat mangsa dikenali sebagai Herman Ismail, 25, yang lengkap berpakaian ditemui penduduk kampung dalam keadaan terapung pada kira-kira jam 8 pagi, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Difahamkan mangsa dipercayai terjatuh dari rumahnya dua jam sebelum mayatnya ditemui.

Ibu mangsa, Banjiline Licanal, 50, berkata ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum menerima panggilan telefon daripada jiran memaklumkan kejadian itu.

“Pada mulanya saya tidak percaya anak saya lemas tetapi sebaik melihat jasadnya tidak lagi bernyawa, jantung saya bagai hancur berkecai.

“Memang dia ada penyakit sawan dan baru kelmarin saya sempat belikan ubat kerana terpaksa bekerja, tidak sangka pula hari ini dia pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tawau, di sini, hari ini.

Banjiline berkata, dia bersama anak bongsu daripada empat beradik itu hanya tinggal berdua selepas kematian suami enam tahun lalu manakala anak yang lain masing-masing sudah berkeluarga.

Beliau berkata, walaupun anaknya mempunyai penyakit tetapi dia seorang yang rajin bekerja selain taat serta mendengar kata.

“Petang semalam, arwah ada memberitahu sedang mengumpul wang untuk membelikan saya telefon bimbit baharu sebagai hadiah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Anak Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kes itu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terjatuh ketika berada di bilik air sebelum ditemui lemas oleh orang kampung.

“Mangsa juga ada penyakit sawan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Selasa, 7 Mei 2019

Bekas pengetua madrasah dipenjara 3 tahun kerana kelucahan melampau

TAWAU: Seorang bekas pengetua sebuah madrasah, di sini, dihukum penjara tiga tahun atas tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajar bawah umur, tiga tahun lalu.


Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus menjatuhkan hukuman itu terhadap Maznan Omar, 37, selepas tertuduh didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan pada Jun 2016.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara berasingan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajar lelaki berusia antara 14 dan 15 tahun di sebuah rumah di sini, antara jam 11 pagi hingga 10.20 malam pada Jun 2016.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung dengan tertuduh kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 7 Disember 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Acho yang hadir bagi pihak peguam Mohamad Abdul Karim.

Sumber : Berita Harian

Khamis, 25 April 2019

Pemandu prebet sapu terlampau

SEMPORNA : SEORANG wanita menempuh detik cemas apabila dicabul dan hampir dirogol ketika menggunakan khidmat kereta sapu di Jalan Simpang Ladang Kelapa Sawit, Kampung Tagasan, Semporna, semalam.


Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke rumah kakaknya di Kampung Bubul Lama, pada kira-kira jam 11 pagi.

Difahamkan, mangsa berusia 22 tahun menaiki kereta sapu jenis Proton Saga Iswara Aeroback berwarna perak sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan di pertengahan jalan berhampiran simpang masuk ladang kelapa sawit.

Sumber memberitahu, pemandu terbabit dikatakan bertindak mencium mangsa beberapa kali, namun mangsa melawan sehingga menyebabkan dia ditumbuk.

“Mangsa terus melawan apabila suspek bertindak membuka seluar dan cuba merogolnya.

“Selepas hampir 20 minit bergelut, suspek mengalah sebelum meminta maaf kepada mangsa dan menurunkannya di tepi bulatan berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Semporna,” katanya.

Mangsa kemudian menghubungi kakaknya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Semporna, kira-kira jam 2.50 petang hari sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek mempunyai ciri-ciri seperti berkulit gelap, berambut pendek, mata kemerahan dan berbadan sederhana, serta bertutur dalam loghat tempatan.

“Setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat dan usaha sedang giat dijalankan bagi memberkas suspek terbabit,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Ahad, 24 Mac 2019

Pelajar kolej maut, kereta langgar pembahagi jalan

TAWAU: Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Batu 13 Jalan Apas, berhampiran Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), dekat sini petang tadi.


Dalam kejadian pada jam 2.10 petang itu, Mohammad Shahrul Nizam Husin, 18, yang memandu kereta jenis Honda City milik guru wanita yang turut bersamanya dikatakan dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.

Beliau berkata, kereta mangsa kemudiannya turut berpusing beberapa kali lalu melanggar longkang sebelum menaiki cerun di bahagian bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa tercampak keluar daripada kereta sebelum terjatuh ke dalam parit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Guru wanita yang duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa yang berasal dari Kampung Segangan Lahad Datu itu tidak memakai tali pinggang keledar selain tidak memiliki lesen memandu.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Khamis, 21 Mac 2019

Sudahlah lesen tamat tempoh, angkut diesel tanpa kebenaran

TAWAU: Sebuah kapal kargo bukan saja membawa muatan 55,000 liter diesel tanpa kebenaran, tetapi juga beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh.


Berikutan itu, kapal berkenaan di tahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika berada di perairan Sungai Serudong, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi, Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin, berkata kapal kargo tempatan itu ditahan sepasukan anggotanya yang menjalankan Ops Pluto Timur dan Ops Maharlika 2 pada kira-kira 3.20 petang.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati juragan bersama empat kru warga tempatan berumur 34 hingga 72 tahun berada dalam bot berkenaan.

“Selepas pemeriksaan lanjut, kita dapati lesen kapal kargo terbabit sudah tamat tempoh dan tidak diperbaharui sejak 31 Mei 2018, selain lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tamat tempoh pada 26 Februari 2019,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Berikutan itu, Mohd Yusri berkata, juragan dan kru ditahan manakala kapal kargo dan barang rampasan yang dianggarkan berjumlah RM350,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO),” katanya.

Sumber : Berita Harian Online

Rabu, 20 Mac 2019

Lelaki sesak nafas dalam pesawat meninggal dunia

TAWAU: Seorang lelaki yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang meninggal dunia dalam pesawat AirAsia di Lapangan Terbang Tawau, petang tadi.


Dalam kejadian jam 3.55 petang itu, Kasim Kastubi, 59, dilaporkan sesak nafas sebaik duduk dalam pesawat yang dijadual terbang ke Kuala Lumpur sebelum disedari anak saudaranya dan memaklumkan kepada kru pesawat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata bantuan pernafasan serta oksigen segera diberi sebelum mangsa dibawa ke bangunan terminal untuk bantuan kecemasan.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan dari Klinik Balung.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Fadil berkata, mangsa yang tinggal di Taman Ria 3 di sini, bersama 11 ahli keluarga dikatakan mahu menghadiri majlis perkahwinan anak saudara di Hulu Langat, Selangor.

“Mangsa yang tidak bekerja pernah menjalani pembedahan di kaki kanan akibat penyakit yang dihidapinya,” katanya

Sumber : Berita Harian Online

Rabu, 27 Februari 2019

Padah proses "Kad Matrik" Pati

POLIS menahan lelaki disyaki menjalankan kegiatan memproses ‘kad matrik’ bagi warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di rumah di Kampung Sentosa dekat Tawau, malam tadi.


Serbuan kira-kira jam 11 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota ‘Strike Team’ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diketuai Inspektor Muis Mursalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata suspek warga tempatan berumur 43 tahun itu disyaki terbabit dalam pengurusan dan penyediaan kad matrik dikenali Union Malaya Borneo Corporation (UMBCO) bagi warga asing yang menetap di Sabah.

Katanya, pemilik kad itu kononnya mempunyai beberapa keistimewaan antaranya tidak akan ditangkap oleh pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri.

“Setiap permohonan dikenakan bayaran RM50 untuk seorang dan pemohon hanya perlu memberi nama dan apa juga jenis pengenalan diri kepada suspek untuk mendapatkan satu kad matrik UMBCO.

“Pemohon akan memperoleh kad itu dalam tempoh tiga hari waktu bekerja sementara suspek memproses pengeluaran kad terbabit di mana-mana kedai alat tulis di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan di Tawau, hari ini.

Fadil berkata, siasatan lanjut mendapati suspek telah menjalankan kegiatan itu hampir sebulan dan bergerak sendirian, selain tidak mempunyai syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Katanya, suspek juga tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis sama ada dari Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis JPN dan Jabatan Imigresen untuk menjalankan kegiatan memproses kad matrik UMBCOberkenaan.

“Dalam serbuan itu, turut dirampas beberapa keping fail, wang tunai berjumlah RM606, telefon bimbit, tiga cop pelbagai nama dan lima keping borang permohonan.

“Perintah reman terhadap supek akan dimohon hari ini sementara siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Kesiksaan kerana cubaan menipu,” katanya.

Sumber Harian Metro

Jumaat, 22 Februari 2019

14 perokok diberi amaran bertulis

TAWAU: Seramai 14 perokok tegar diberi amaran bertulis kerana didapati merokok di kawasan larangan (premis makanan) dalam Ops Premis Bersih di sekitar bandar ini, malam tadi.
Dalam operasi selama tiga jam bermula 8 malam itu, sebanyak 15 premis diperiksa dengan dua daripadanya diarah tutup serta- merta kerana didapati beroperasi dalam keadaan kotor.

Pegawai Pejabat Kesihatan Persekitaran Kawasan (PKPK) Tawau, Rahman Sampe, berkata operasi dijalankan sepasukan 13 pegawai di kawasan Muhibbah Bal dan premis perniagaan di Semarak.

Katanya, operasi itu dijalankan secara serentak bersama operasi ‘penguatkuasaan pendidikan’ berkaitan pematuhan larangan merokok di premis makanan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PKHT) 2004.
“Hasil operasi itu, kami dapati daripada 15 premis diperiksa, hanya satu yang masih gagal memasang tanda larangan merokok dan tindakan amaran telah dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rahman sekali lagi memberi peringatan kepada pemilik premis termasuk pengusaha atau pengendali gerai makanan (kiosk) supaya mengikuti dan mendapatkan sijil kursus pengendalian makanan, selain mendapatkan suntikan vaksin.

“Jika ada sebarang masalah atau kemusykilan, orang ramai atau pihak yang berkenaan boleh datang ke pejabat dan kami sedia memberi khidmat nasihat berkenaan pematuhan peraturan serta undang-undang berkaitan,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online


Isnin, 11 Februari 2019

Lelaki bakar gudang, rumah kongsi ditahan

TAWAU: Angkara khianat, sebuah gudang simpanan kayu, pejabat dan dua blok rumah kongsi 10 pintu menempatkan lebih 20 penghuni di Batu 5 Jalan Apas, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.


Kejadian kira-kira jam 4 pagi di perumahan kongsi Syarikat Anjur Juara Sdn Bhd itu dipercayai didalangi seorang lelaki yang juga pekerja kilang terbabit sebelum suspek melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Vigo milik majikannya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.32 pagi membabitkan kebakaran di tiga tempat berlainan iaitu rumah kongsi, pejabat dan gudang.

Katanya, seorang penghuni rumah kongsi mendakwa melihat plastik hitam yang digunakan untuk menutup kayu telah dibakar oleh suspek.

“Pada jam 5.18 pagi, majikan syarikat berusia 48 tahun tiba di tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran. Pada jam 7.20 pagi, dalam kesibukan membantu memadamkan api, suspek masuk ke dalam Toyota Vigo yang ditinggalkan bersama kunci di dalam kenderaan lalu memecut melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis trafik berjaya menahan kenderaan itu di kawasan lampu isyarat Batu 3, pada jam 7.55 pagi,” katanya di sini, sebentar tadi.

Fadil berkata, sebelum tangkapan dibuat, suspek dipercayai mengundurkan kenderaan sehingga melanggar sebuah PROTON Saga milik wanita berumur 41 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati suspek adalah penghuni rumah kongsi berkenaan dan menurut majikannya, suspek bekerja kira-kira empat tahun namun berkelakuan kurang siuman sejak seminggu lalu dan direhatkan oleh majikan memandangkan dia menunjukkan tanda kemurungan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan disebabkan suspek mengalami sakit mental,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin, berkata seramai 13 anggota bersama dua jentera dan sebuah tangki air dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 4.33 pagi.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati sebuah kilang papan dengan keluasan 900 kaki persegi terbakar sepenuhnya, selain dua blok rumah kongsi pekerja yang hangus sama sekali.

“Kebakaran dikawal pada jam 6.12 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi. Tiada mangsa dilaporkan cedera sementara punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

-Berita Harian Online

Rabu, 30 Januari 2019

Macam mana boleh tersangkut dik?

TAWAU : KANAK-kanak lelaki berusia 11 tahun cemas apabila tersangkut pada saluran paip pembetungan najis ketika bermain bersama rakannya di kawasan tangga Flat Sri Titingan, Tawau, pagi tadi.


Akibat kejadian jam 8.30 pagi itu, kanak-kanak terbabit terpaksa menahan kesakitan selama lebih 20 minit akibat tersepit sebelum diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.38 pagi sebelum lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati kaki kanak-kanak terbabit tersepit antara celah paip pembetungan najis dan dinding di tingkat empat Blok E flat berkenaan.

“Anggota bomba kemudian merenggangkan saluran paip itu dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik sebelum berjaya mengeluarkan kanak-kanak terbabit dengan selamat.

“Tiada kecederaan serius dialami kanak-kanak terbabit sebelum ahli keluarganya menghantarnya ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 8.52 pagi.

Sumber :- Harian Metro Online

Selasa, 29 Januari 2019

Rumah jadi stor sementara seludup tong gas

TAWAU: Taktik seorang lelaki menjadikan rumahnya sebagai tempat pengumpulan dan penyimpanan sementara tong gas cecair petroleum (LPG) sebelum diseludup keluar, terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa, pagi tadi.


Serbuan dijalankan lima anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau, jam 10.30 pagi.

Ia hasil risikan selama seminggu susulan aduan dan laporan berkaitan aktiviti penyeludupan barang kawalan itu oleh lelaki tempatan berumur 56 tahun di rumahnya di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDNHEP Tawau, Aslani Dabi, berkata rampasan membabitkan 35 tong gas LPG 14 Kilogram (kg) yang disimpan sementara di rumah itu untuk diseludup ke Indonesia.

Katanya, pemeriksaan di premis itu mendapati suspek memiliki barang kawalan tanpa kebenaran atau lesen dan permit yang sah.

“Semua 35 tong gas LPG itu dirampas untuk siasatan lanjut bersama sebuah lori jenama dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM28,500.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi individu atau orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya di sini, hari ini.

Aslani berkata, pihaknya juga dari semasa ke semasa giat mengesan dan mengenal pasti syarikat yang membekalkan LPG kepada mana-mana premis tidak berlesen di daerah ini.-Berita Harian

Ahad, 13 Januari 2019

Padah cuba seludup tong gas

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin (PPM) mematahan cubaan seorang lelaki menyeludup keluar 25 unit tong gas cecair petroleum (LPG) di kawasan perairan Sum- Sum dekat sini petang semalam.


Suspek lelaki tempatan berumur 25 tahun menggunakan sebuah pam bot dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan berkenaan kira-kira 12.50 petang.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 25 unit tong gas LPG jenama Petronas disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran Filipina.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah atau surat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa keluar barangan kawalan.

"Suspek telah ditahan dan rampasan dibawa ke pangkalan Pasukan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM15,550.00 dan kes disiasat dibawah
Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

sumber : harian metro

Sabtu, 12 Januari 2019

Keluar hasil hutan tanpa permit 2 beranak ditahan PPM

TAWAU : Dua beranak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercaya melakukan aktiviti pengeluaran kayu bakau tanpa permit di kawasan Sungai Merotai dekat sini kelmarin.


Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing berusia 21 dan 53 tahun yang juga penduduk tempatan ditahan untuk siasatan di bawah Enakmen Perhutanan 1963.

Menurutnya, kedua-dua mereka ditahan kira-kira jam 7.30 malam selepas sepasukan anggota PPM terserempak bot yang digunakan suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui 18 batang kayu bakau bersama sebilah kapak dalam perahu tersebut dipercayai digunakan untuk menebang pokok bakau secara haram.

"Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM13,970.00 dan dibawa  ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut," katanya.