LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) komited dan serius menangani pelbagai masalah keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Komander ESSCOM, Dato’ Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, ESSCOM yang terdiri daripada gabungan pelbagai agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta disokong oleh bahagian Awam sentiasa memastikan keselamatan pantai timur Sabah berada ditahap yang terbaik.
“Pelbagai langkah-langkah pencegahan telah diambil termasuk mewajibkan semua bot-bot nelayan dan pelancongan mempunyai sistem perhubungan dan komunikasi seperti pemasangan sistem pengesanan automatik (AIS) dan radio VHF supaya mereka boleh melaporkan dengan segera sekiranya berlaku kecemasan seperti kes penculikan ataupun kejadian bot karam di lautan.
“Walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan pemasangan AIS namun atas faktor keselamatan, kita nasihat semua pengusaha bot pelancongan dan bot nelayan laut dalam memasang alat komunikasi berkenaan untuk keselamatan mereka”, katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pertemuan ESSCOM dengan Masyarakat Kampung Tinagian, Felda Sahabat dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekuitf ESSCOM Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Timbalan Komander ESSCOM Brig. Jen. Hamdan Ismail, Ketua Staf Bahagian Pusat Operasi ESSCOM Brig. Jen. Dato’ Md. Rahim Hj. Mohamad, Ketua Kampung Tinagian, Aziz Linggam dan Pegawai-pegawai Kanan ESSCOM.
Wan Abdul Bari berkata, komunikasi yang efektif, cepat dan pantas antara pasukan keselamatan dengan pengusaha bot adalah elemen penting yang perlu diberi perhatian supaya sebarang tindakan dan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan cepat dan di lokasi yang tepat.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua pihak agar melaporkan dengan segera kepada ESSCOM ditalian 089-863181 sekiranya ternampak kelibat individu-individu atau bot-bot tertentu yang tidak dikenali berada di kawasan perkampungan untuk tindakan lanjut termasuk membuat pemeriksaan mengejut bagi menghindari sebarang kejadian kes culik daripada berlaku.
Program turun padang ESSCOM berkenaan bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara Pegawai tertinggi ESSCOM dengan penduduk setempat, selain mendapatkan maklum balas mengenai isu-isu keselamatan yang dihadapi oleh penduduk tempatan di kawasan berkenaan agar dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan