Oleh : QJ | Kemalangan Maut
TAWAU : Seorang anggota tentera berpangkat koperal dan seorang wanita maut selepas kereta pacuan empat roda dinaiki terbabas dan terbalik sebelum jatuh ke dalam gaung di KM 7 Jalan Merotai-Dumpas dekat sini malam tadi.
Mangsa Yusop Yaris, 44, dari Markas Angkatan Bersama (ATB) Kem Kukusan Tawau meninggal dunia di tempat kejadian manakala Morni Sirat, 57, (Penumpang bahagian belakang pemandu) meninggal dunia ketika mendapat rawatan di hospital Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata dalam kejadian jam 9.20 itu, kenderaan terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Lawas menghala ke bandar Tawau dengan membawa 6 penumpang termasuk seorang kanak-kanak berumur tiga tahun.
"Siasatan awal mendapati kereta jenis Isuzu D-Max yang dipandu anggota tentera tersebut hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan lalu terbalik sebelum jatuh ke dalam gaung.
"Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan manakala empat lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan disini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Pix : keadaan kenderaan yang dinaiki mangsa selepas terjunam ke dalam gaung dalam kemalangan di Km7 Jalan Merotai-Dumpas kira-kira 9. 20 malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan