Isnin, 27 Februari 2017

POLIS KUNAK TAHAN 2 WARGA ASING DISYAKI PEMBUAT DAN PENJUAL BOM IKAN

KUNAK : Polis Kunak menahan dua lelaki warga asing kerana disyaki pembuat dan penjual bom ikan di kawasan penemptan pinggir laut di Kampung Kunak 3 dekat sini petang semalam.


Kedua-dua suspek warga Filipina masing-masing berumur 25 dan 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dalam dua tangkapan berasingan. 

Suspek pertama ditahan ketika sedang memikul sebuah karung guni dalam keadaan mencurigakan dikawasan berkenaan kira-kira 7.05 petang. 

Ketua Polis Daerah Kunak, Supretendan Mohd Nasarudin M. Nasir berkata, saspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis namun berjaya ditangkap. 

"Suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan hasil soal siasat serta pemeriksaan lanjut ke atas karung guni didapati mengandungi baja urea dianggarkan seberat 25 kilogram dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu polis kemudiannya menjalankan serbuan kira-kira 2.30 pagi di dua buah rumah berdekatan dan menahan seorang lagi suspek sebelum menemui satu botol bom ikan yg telah siap untuk digunakan, selain sumbu, mancis, wayar, dan lima unit detanator serta peralatan lain.

Polis juga terpaksa mengharungi air laut yang sedang pasang selepas jambatan di perkampungan air tersebut telah dirobohkan oleh penduduk bagi mengelak daripada diserbu oleh pihak berkuasa.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki pembuat dan penjual bom ikan di daerah ini dan kes disiasat dibawah seksyen 8 Akta bahan letupan 1957," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan