SEMPORNA : Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup keluar barang-barang kawalan di kawasan perairan Laut Singamata di sini, petang semalam.
Pegawai Memerintah Markas Operasi (PPM) Wilayah Empat Semporna, Asisten Supretendan Safardi Abd Samad, berkata suspek seorang lelaki warga Filipina berumur 25 tahun berasal dari Pulau Omadal ditahan dalam satu ops tugas khas di kawasan itu pada jam 5.10 petang.
"Suspek menggunakan sebuah perahu yang dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota PPM.
"Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati perahu tersebut sarat dengan muatan sejumlah minyak masak paket RM1 (204 kg) dan tepung gandum (72 paket) dipercayai cuba diseludup untuk dipasarkan di negara jiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek tidak mempunyai permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membawa barangan kawalan terbabit.
"Kesemua barang yang dirampas termasuk petahu dan enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM16,289.60 dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit," katanya.
© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve
Tiada ulasan:
Catat Ulasan