Selasa, 31 Oktober 2017

Rupanya janin anjing

TAWAU : Seorang wanita terkejut apabila menemui objek menyerupai janin manusia yang diletakkan di atas lantai belakang sebuah kedai sukan, di Bandar Fajar dekat sini tengahari tadi.


Wanita itu kemudiannya menyerahkan janin tersebut kepada petugas masjid yang kemudiaannya menghubungi polis kira-kira jam 12.45 tengahari.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata susulan laporan itu, anggota polis kemudiannya digerakkan ke lokasi janin ditemui untuk siasatan lanjut sebelum janin tersebut dibawa ke bilik mayat hospital Tawau untuk bedah siasat.

Fadil berkata hasil bedah siasat bagaimanapun mendapati janin tersebut adalah janin haiwan iaitu seekor anjing.

Jumaat, 27 Oktober 2017

Pelancong lemas di Pulau Mabul

SEMPORNA: Seorang pelancong lelaki warga China ditemui lemas di Pusat Menyelam Resort Sipadan Water Village (SWV) Pulau Mabul dekat sini pagi tadi.


Mayat Shen Dong, 26, ditemui oleh pengawal keselamatan pusat peranginan berkenaan kira-kira jam 11.50 pagi.

Bantuan kecemasan (CPR) telah dibuat sebaik mayat mangsa dibawa ke permukaan, bagaimanapun pelancong tersebut didapati tidak lagi bernafas.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Anak Ambuas, berkata mangsa disahkan meninggal sebelum sampai di Hospital Semporna.

Menurutnya, mangsa bersama enam rakannya telah datang menginap di pusat peranginan tersebut kira-kira jam 10.00 pagi sebelum melakukan aktiviti berenang.

"Siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang berenang tanpa menggunakan jaket keselamatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat, 20 Oktober 2017

Mayat remaja dikerumuni kerengga

SEMPORNA : Mayat seorang remaja lelaki ditemui di kawasan kebun kelapa di Kampung Selinggit Kabongan, dekat sini pagi tadi.



Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Anak Umbuas berkata, Mayat remaja berumur 16 tahun yang dikerumuni kerengga ditemui dalam keadaan terbaring di bawah pokok mangga di kawasan tersebut

Isnin, 2 Oktober 2017

Bapa dera anak ditahan

KUNAK: Polis hari ini menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul dan mendera dua anak kandungnya menggunakan besi penyodok pasir.


Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Sungai Atas dekat sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Suspek ditahan susulan laporan polis dibuat isterinya yang bekerja sebagai tukang cuci di Kuala Lumpur berhubung dakwaan dua anaknya di bawah jagaan lelaki terbabit dipukul serta didera pada 19 September lalu.

Difahamkan, suspek dikatakan memukul anak perempuannya berusia 12 tahun dengan tangan kerana berang kanak-kanak itu keluar rumah dan terlupa menutup api nasi yang sedang ditanak hingga mengakibatkan nasi itu hangus serta hampir berlaku kebakaran.

Pada tarikh sama, suspek dikatakan memukul anak lelakinya berusia sembilan tahun dengan penyodok pasir kerana tidak tahu kakaknya keluar rumah.

Berdasarkan pemeriksaan polis, kedua-dua mengalami kecederaan ringan pada bahagian tubuh.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek mengaku ada memukul dua anaknya tetapi menafikan kerap berbuat demikian.

"Berikutan itu, suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Nasaruddin berkata, pasangan itu dalam proses perceraian sejak dua tahun lalu selepas berkahwin hampir 15 tahun dan mempunyai tiga anak berumur lima, sembilan dan 12 tahun.

"Hak penjagaan anak masih belum ditentukan oleh mahkamah," katanya.

Kelmarin, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak membantu menghantar dan mengiringi perjalanan ibu dan tiga anak itu dari Kunak ke Lapangan Terbang Tawau untuk mengambil penerbangan ke ibu negara.

Wanita terbabit dengan dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pulang ke Sabah beberapa hari lalu untuk membawa anaknya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.- BH Online

Ahad, 1 Oktober 2017

Imigresen Tawau tahan 10 GRO warga asing

TAWAU : Sepuluh pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan Jabatan Imigresen di sebuah premis hiburan (kafe karaoke) di Jalan Chen Fook, Bandar Sabindo di sini, malam tadi


Premis hiburan dua tingkat itu dipercayai menawarkan khidmat seks itu diserbu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen kirdalam satu serbuan kira-kira jam 9.00 malam tadi.

Ketua Jabatan Imigresen Tawau, Noraini Rasi dalam satu kenyataan berkata, kesemua yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka kita tahan untuk siasatan lanjut di bawah  Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) akta yang sama,” katanya.

Khamis, 18 Mei 2017

Anak tikam, tetak bapa hingga mati

TAWAU : Seorang lelaki maut selepas ditikam dan ditetak anak lelakinya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Gading 1 Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, dekat sini awal pagi tadi.



Mangsa, Ali Nordin, 56, meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah selepas ditikam dileher selain ditetak di kepala menggunakan parang  panjang susulan kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran dan perselisihan faham antara saspek (anak) dengan simati (bapa) yang berlarutan sehingga saspek bertindak menikam leher dan menetak kepala bapanya menggunakan parang.

"Saspek kemudiannya bertindak menikam perutnya sendiri sebelum dihantar ke  Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Saspek kini masih ditahan di wad kecemasan kerana mengalami pendarahan yang teruk pada bahagian perut," katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Fadil berkata, siasatan polis juga mendapati suspek disyaki dibawah pengaruh dadah semasa kejadian manakala suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis turut merampas sebilah parang panjang berukuran 28 inci, pisau 10 inci, buah telefon bimbit, dan satu botol minuman berkarbonat.




© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Sabtu, 13 Mei 2017

Rokok bernilai RM40,000 dirampas PPM

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau merampas 3,000 bungkus rokok seludup dalam sebuah kereta di kawasan Batu 3, Jalan Apas, dekat sini malam tadi. 




Rokok seludup dipercayai dari negara jiran yang dianggarkan bernilai RM40,000 itu dirampas dalam operasi OP Landai, kira-kira jam 10.30 malam. 

Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superintendan Norzaid Mohammad Said, berkata sepasukan lima anggota Unit Risikan PPM yang membuat tugas OP Landai dan pemantauan aktiviti penyeludupan telah terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu PROTON Saga memecut sebelum dikejar polis hingga berlaku pelanggaran antara kereta suspek dengan kenderaan PPM. 

"Suspek kemudian memberhentikan kereta sebelum melarikan diri. Pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu menemui plastik hitam yang mengandungi rokok seludup pelbagai jenama.

 "Kereta dan barang rampasan dibawa ke Pejabat PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967," katanya. 
-BHONLINE





© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Sabtu, 8 April 2017

Lelaki cuba pecah mesin ATM diberkas

TAWAU: Cubaan seorang lelaki memecah mesin ATM di sebuah pasar raya di sini, gagal apabila diberkas selepas kegiatannya disedari pengawal keselamatan, awal pagi tadi.



Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, cubaan suspek berbuat demikian disedari pengawal keselamatan yang bertugas. 

Menurut sumber, suspek yang berusia 27 tahun itu dipercayai telah memotong kabel penggera sebelum cuba membuka bahagian depan mesin berkenaan dengan pemutar skru.

"Suspek dipercayai telah memotong kabel penggera keselamatan dan cuba untuk membuka penutup bahagian hadapan mesin ATM itu tetapi ditangkap pengawal keselamatan pasar raya berkenaan. 

"Suspek juga bertindak agresif dengan cuba melarikan diri dan bergelut dengan pengawal keselamatan namun berjaya ditangkap sebelum diserahkan kepada polis kira-kira jam 6.30 pagi," katanya kepada BH di sini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
-BH online





© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

SPRM tahan inspektor polis disyaki rasuah

LAHAD Datu : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Lahad Datu menahan seorang pegawai polis lelaki berpangkat Inspektor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah lima tahun lalu.


Suspek berusia 37 tahun itu disyaki meminta rasuah untuk tidak menghadapkan seorang pemandu treler ke mahkamah bagi tuduhan melibatkan kes kemalangan maut pada tahun 2012.
 
Inspektor itu ditahan di pejabat trafik, IPD Lahad Datu kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Menurut sumber, kes kemalangan itu berlaku pada Februari 2012 yang
mengakibatkan kematian seorang orang awam dan mencederakan seorang lagi.

Difahamkan, selepas siasatan dijalankan, pemandu treler itu sepatutnya dikenakan saman dan tidak ada arahan untuk menuduhnya di mahkamah.

Bagaimanapun, suspek telah mengambil kesempatan dan meminta wang rasuah
RM3,500 daripada pemandu treler itu kononnya supaya dia tidak dituduh dan
dijatuhkan hukuman penjara.

Pengarah SPRM Sabah Dato’ Sazali Salbi ketika dihubungi mengesahkan
tangkapan itu dan suspek akan direman esok untuk membantu siasatan. -Bernama





© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Jumaat, 7 April 2017

APMM tahan lelaki seludup kain batik

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan seorang lelaki dan merampas kira-kira 1200 pasang kain batik dan 240 botol losyen yang dianggarkan bernilai RM23,520.00 yang dipercayai cuba diseludup masuk ke daerah ini, awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira 4.13 pagi itu, suspek warga tempatan berumur 20 tahun itu enggan memberikan kerjasama dan bertindak cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak Maritim Malaysia sebelum berjaya dipintas di kawasan perairan Tawau.

Pengarah Maritim Daerah Tawau (DM18), Kepten (M) Romli Mustafa, berkata pemeriksaan kemudiannya mendapati suspek membawa muatan kain batik jenama ‘Amanda’ dan ‘Doa Ibu’ berjumlah 1200 helai serta losyen jenama ‘Vienna’ berjumlah 240 botol tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Kesemua barang yang dirampas itu disyaki cuba diseludup masuk ke Daerah Tawau melalui kawasan perairan Sungai Hj. Kuning, Pulau Sebatik Indonesia untuk dipasarkan disini," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Romli berkata suspek dan barang  yang dirampas dibawa ke Jeti APMM Tawau untuk  untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Racun 1952.




© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve.

Khamis, 6 April 2017

APMM tahan 2 lelaki cuba seludup barang kawalan

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup keluar pelbagai barang kawalan bernilai RM54,300 menggunakan bot jongkong di Sungai Melayu, di sini, semalam.



Mereka ditahan sepasukan anggota APMM kira-kira jam 2.30 petang selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan. 

Pengarah Maritim Daerah Tawau (DM18), Kepten (M) Romli Mustafa, berkata bot jongkong terbabit didapati membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). 




"Pemeriksaan lanjut, katanya, menemui 10 tong gas, 80 kilogram (kg) tepung gandum, 70 kampit gula pasir dan 145 kotak minyak masak disyaki cuba diseludup ke Indonesia," katanya di sini, sebentar tadi. 

"Ini rampasan kelapan dilakukan APMM Tawau tahun ini, membabitkan kesalahan membawa barang kawalan tanpa dokumen sah. 

"Kedua-dua suspek dan barang kawalan yang dirampas dibawa ke Jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi. - BH Online






© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve






Sabtu, 1 April 2017

Ambulan kemalangan

TAWAU : Sebuah ambulan yang membawa pesakit terbabit dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat Takada kira-kira 2.50 petang tadi.



Difahamkan ketika kejadian, ambulan tersebut dalam perjalanan membawa pesakit dari hospital Kunak menuju ke hospital Tawau sebelum tiba di lokasi kejadian lalu merempuh sebuah kereta Toyota Vios yang secara tiba-tiba memasuki laluan ambulan berkenaan.

Pemandu ambulan bersama dua jururawat termasuk pesakit dan seorang penumpang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala tiga penumpang Vios termasuk pemandu hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, dalam satu kenyataan disini berkata, siastan lanjut masih dijalankan.





© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Isnin, 20 Mac 2017

Siasatan pelajar dakwa dicabul doktor gigi selesai

TAWAU: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung seorang doktor gigi yang didakwa mencabul enam pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini, Jumaat lalu. 



Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan semua individu yang terbabit dalam kes berkenaan. 

"Kertas siasatan sudah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya, terpulang kepada mereka untuk menentukan tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Fadil berkata, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tiga hari berakhir hari ini. 

Jumaat lalu, polis menahan seorang doktor gigi selepas enam keluarga mangsa membuat laporan polis mendakwa anak perempuan mereka dicabul ketika mendapatkan rawatan di klinik gigi sekolah. 

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Tawau pada jam 2.30 petang hari yang sama ketika dipercayai cuba berlepas ke Kuala Lumpur. - BH Online





© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve



Sabtu, 18 Mac 2017

APMM tahan 5 PATI warga Filipina

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau mengagalkan cubaan lima lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina yang cuba menyusup masuk secara haram ke daerah ini melalui perairan Tinagat awal pagi tadi.



Pengarah Maritim Daerah (PMD), APMM DM18 Tawau, Kepten Maritim Romli Mustafa, berkata kesemua PATI yang berumur antara 17 hingga 51 tahun itu ditahan dalam sebuah bot pam di kawasan perairan berkenaan kira-kira jam 10.30 pagi.

“Anggota APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di sekitar lokasi berkenaan telah mengesan bot pam yang mencurigakan dipercayai dari Pulau Sitangkai Filipina sedang menuju ke kawasan perairan Batu 4, dekat sini.

“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang juragan bersama empat penumpang di atas bot pam berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti APMM untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.




© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Rabu, 15 Mac 2017

Polis Marin gagalkan cubaan seludup barang kawalan

SEMPORNA : Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menggagalkan cubaan seorang lelaki menyeludup keluar barang-barang kawalan di kawasan perairan Laut Singamata di sini, petang semalam.


Pegawai Memerintah Markas Operasi (PPM) Wilayah Empat Semporna, Asisten Supretendan Safardi Abd Samad, berkata suspek seorang lelaki warga Filipina berumur 25 tahun berasal dari Pulau Omadal ditahan dalam satu ops tugas khas di kawasan itu pada jam 5.10 petang.

"Suspek menggunakan sebuah perahu yang dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota PPM.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati perahu tersebut sarat dengan muatan sejumlah minyak masak paket RM1 (204 kg) dan tepung gandum (72 paket) dipercayai cuba diseludup untuk dipasarkan di negara jiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membawa barangan kawalan terbabit.

"Kesemua barang yang dirampas termasuk petahu dan enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM16,289.60 dibawa ke pangkalan PPM Semporna untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana kesalahan membawa barang kawalan tanpa permit," katanya.




© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Selasa, 14 Mac 2017

45 rumah musnah, kebakaran di Likas

KOTA KINABALU : Sebanyak 45 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Muhibbah Likas dekat sini pagi tadi.


Pegawai Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, kebakaran dipercyai bermula kira-kira jam 8.00 pagi itu melibatkan rumah setinggan yang terbakar sepenuhnya.

Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak 50 minit kemudian selain menyelamatkan 30 buah rumah daripada musnah terbakar.

"Terdapat seorang mangsa melecur dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulan," katanya.




© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Isnin, 13 Mac 2017

Syarikat pembinaan dikesan curi air

TAWAU : Sebuah syarikat pembinaan dikesan melakukan kegiatan mencuri air dalam satu serbuan di sebuah tapak pembinaan bangunan di Jalan Damai dekat sini, pagi tadi.

ANGGOTA penguatkuasa Jabatan Air Bahagian Tawau                                   melakukan operasi pemotongan sambungan air di sebuah                               kawasan tapak pembinaan di Jalan Damai dekat sini pagi tadi.




Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan dilakukan Unit Penguatkuasa Jabatan Air Bahagian Tawau kira-kira jam 10.00 pagi sebelum menemui satu sambungan yang dilakukan secara haram dari paip utama bagi kegunaan projek pembinaan bangunan di kawasan berkenaan.



Jurutera Air Bahagian Tawau, Ishar Hamka Ismail berkata, 'Ops Kesan' minggu ke-3 itu menumpukan 'pembersihan' penyambungan haram yang tidak mengikut peraturan terutama di premis-premis, kebun-kebun dan tapak - tapak pembinaan di sekitar daerah ini.

“Syarikat pembinaan tersebut telah dikenakan kompaun sebanyak RM15,000.00 di bawah Seksyen 49(b) Enakman Bekalan Air 2003.

“Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW),” katanya.


Dalam pada itu, Ishar turut menegaskan agar semua pengguna dapat mematuhi undang-undang sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003 atau berdepan dengan denda yang berat jika didapati melakukan kesalahan.

"Juteru kita mohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kes-kes kecurian air seperti ini dan sebarang aduan boleh dilaporkan terus melalui talian Pusat Khidmat Pelanggan Jabatan Air Tawau di 019 535 4600," katanya.



© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Jumaat, 10 Mac 2017

ESSCOM tahan 5 Pati, 17 buah bot

LAHAD DATU : Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 17 buah bot yang disyaki menangkap hasil laut menggunakan pukat tiga lapis dalam pelbagai operasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sepanjang minggu lalu.


Komander ESSCOM, Dato’ Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini berkata kesemua pati yang berumur dalam lingkungan 14-62 tahun ditahan di daerah Semporna ketika memasuki perairan negara ini secara haram menggunakan bot penambang.

“Mereka ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Sementara itu, 17 buah bot ditahan di kawasan perairan Pulau Berhala dan Tinusa, Sandakan kerana menangkap udang menggunakan pukat tiga lapis iaitu kesalahan dibawah Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985”, katanya.

Wan Abdul Bari berkata, selain bot turut dirampas 16 buah enjin sangkut jenama Yamaha 15hp dan sebuah enjin 30hp yang digunakan dalam kegiatan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM149,000.00.



© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Rabu, 8 Mac 2017

Polis tahan 27 individu terbabit dadah

TAWAU :  Polis menahan 27 individu termasuk enam wanita kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di beberapa lokasi berasingan malam tadi.


Gerak Gempur Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah membuat serbuan di kawasan Taman Bahagia, Felda Umas Kalabakan, Kampung Autentik Tanjung Batu dan Pusat Komersil Ba Zhong dekat sini bermula kira-kira jam 7.30 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata dalam operasi itu seramai 88 individu telah diperiksa sementara yang ditahan adalah warga asing dan tempatan berumur antara 16 hingga 48 tahun.

Katanya, kesemua mereka ditangkap atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu selain dengan sengaja memasukkan dadah kedalam pada tubuh badan sendiri. 

"Polis turut merampas 38 peket plastik pelbagai saiz yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 16.82 gram dipercayai untuk kegiatan penagihan dadah.

"Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 



© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Warga emas rentung dalam kebakaran

RANAU : Seorang lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Betong Karagasan, dekat sini awal pagi tadi.


Mangsa dikenali sebagai Bangkawat Ingkiran, 81, ditemui rentung oleh sepasukan anggota bomba yang terlibat dalam operasi itu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, Bomba menerima panggilan kira-kira jam 1.23 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba Ranau digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik bomba tiba di tempat kejadian, keseluruhan rumah sudah hangus terbakar," katanya



© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve



Selasa, 7 Mac 2017

Buruh maut dihempap besi

SANDAKAN : Seorang buruh binaan warga India maut selepas dihempap plat besi ketika sedang membuat kerja-kerja pembinaan kuasa hidro di Batu 20, dekat sini, petang tadi.



Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu rakan mangsa turut berada di tapak pembinaan tersebut sebelum terdengar objek jatuh dari tempat tinggi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, mangsa dikenali sebagai Sona Mahto, telah di keluarkan oleh pekerja pembinaan sebelum pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.06 petang.

"Mangsa kemudiannya di sahkan meninggal dunia dan serahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut," katanya.




© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve


ESSCOM gagalkan cubaan rompak kapal dagang

LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menggagalkan cubaan rompak dan rampas sebuah kapal dagang milik Vietnam berhampiran kawasan perairan Pulau Boan, Filipina, pada petang Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.00 petang itu, kapal dagang MV Phu An 268 yang sedang dalam pelayaran berhampiran Pulau Boan, Filipina telah diekori dan cuba dipintas sebuah bot laju dinaiki enam orang dalam keadaan mencurigakan.



Kapten kapal kemudiannya cuba meningkatkan kelajuan dan mengubah haluan ke perairan Malaysia sebelum menghubungi dan mendapatkan bantuan ESSCOM melalui saluran 16. 

Komander ESSCOM, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata, ESSCOM telah mengesan isyarat kecemasan melalui perhubungan radio di saluran 16 daripada Kapal Dagang MV Phu An 268 milik Vietnam, kira-kira jam 4 petang. 

"Susulan itu, ESSCOM mengatur gerak bot dan kapal KD Sri Tiga ke perairan sempadan untuk mengesan dan seterusnya mengiringi kapal dagang ke pelabuhan Sandakan dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan disini. 

Wan Abdul Bari berkata, tindakan pantas kapten kapal dagang menggunakan saluran 16 (channel 16), membolehkan pasukan keselamatan mengatur gerak aset di laut bagi menggagalkan cubaan rompakan atau penculikan. 

Sehubungan itu, beliu menggesa supaya golongan nelayan khasnya memasang radio saluran 16 selain Sistem Pengesanan Automatik (AIS) dalam kapal mereka bagi memudahkan bantuan atau melaporkan sebarang keadaan yang mencurigakan kepada ESSCOM," katanya.




© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Isnin, 6 Mac 2017

Pelancong China lemas di Pulau Sipadan

SEMPORNA : Seorang pelancong lelaki warga China lemas ketika menyertai aktiviti menyelam di kawasan Barracuda Point berhampiran pesisir pantai Pulau Sipadan, dekat sini, pagi semalam.


Mangsa Ng Chi Ming, 53, difahamkan bersama sekumpulan pelancong seramai 11 orang menjalankan akitiviti menyelam dikawasan perairan tersebut kira-kira jam 6.44 pagi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, mangsa bagaimanapun telah disedari hilang dari kumpulan penyelam selepas sepuluh minit menyelam di kawasan berkenaan sebelum pencarian dilakukan.

"Pihak Taman-Taman Sabah yang menerima laporan mengenai kejadian itu kemudiannya telah meminta bantuan pasukan tentera bersama pasukan Markas Angkatan Bersama (ATB2) dan membuat pencarian di kawasan permukaan air di kawasan pulau tersebut.

"Mayat mangsa kemudiannya dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri tidak jauh dari lokasi menyelam kira-kira jam 8.55 pagi, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Peter, bantuan pernafasan telah diberikan namun tiada reaksi daripada mangsa sehingga dibawa ke hospital sebelum disahkan telah meningga dunia.

Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke rumah mayat Hospital Tawau untuk tujuan bedah siasat. 

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengujut,"katanya


© 2017. SABAH CRIME NEWS | All rights reserve

Sabtu, 4 Mac 2017

APMM rampas barang kawalan RM120,000.00

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) DM18 Tawau menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang-barang kawalan dianggarkan bernilai RM120,000.00 dalam tiga rampasan berasingan petang semalam. 

Antara yang dirampas termasuklah 97 tong gas petroleum cecair (LPG), 3020  kilogram minyak masak, 2760 kilogram gula pasir, 2400 kilogram tepung gandum dan 490 kilogram beras. 

Timbalan Pengarah (Operasi), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau, Komander Maritim Romli Mustafa, berkata barangan kawalan terbabit dirampas daripada sebuah bot jongkong yang diperiksa sepasukan anggota APMM di perairan Tanjung Batu Log Pond, pada pukul 6.30 petang.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati bot jongkong yang sarat dengan muatan barang-barang kawalan tersebut cuba diseludup keluar ke negara jiran Indonesia melalui Pulau Sebatik,"

"Selain itu, juragan bot didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membawa keluar barang kawalan berkenaan," katanya kepada pemberita pada Sidang Media di Ibu Pejabat APMM di sini sebentar tadi.


Jumaat, 3 Mac 2017

Curi kayu, 2 lelaki ditahan polis

TAWAU : Dua lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki terbabit dengan kes curi kayu belian milik seorang peniaga di Batu 6 Jalan Apas dekat sini malam tadi.


Difahamkan peniaga tersebut sebelum ini telah beberapa kali kehilangan hampir 120 batang kayu belian bernilai kira-kira RM48,000.00 dipercayai dicuri sebelum membuat laporan polis pada 3.30 petang semalam.

Susulan daripada laporan itu, sepasukan pegawai dan anggota IPD Tawau telah menjalankan OPS bersepadu dan telah membuat serbuan dan menangkao dua lelaki yang berada didalam sebuah lori jenis NISSAN berwarna merah di kawasan Jalan Apas kira-kira jam 8.15 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kedua-dua suspek masing-masing berumur 30 dan 45 tahun itu juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan keatas lori kemudiannya menjumpai tiga batang kayu yang disyaki dicuri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadil berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati salah seorang suspek didapati positif dadah. 

"Kedua-dua suspek telah ditahan reman dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 7 tahun dengan denda atau kedua-duanya," katanya.

Khamis, 2 Mac 2017

Polis tahan suspek samun di Taman Miramas, Semporna

SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki tempatan disyakai suspek dalam cubaan melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Miramas, dekat sini tengahari semalam.


Ketua Polis Daerah Semporna, Supretendan Peter Anak Umbuas berkata bertindak atas maklumat dan risikan polis,  sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, (JSJ) IPD Semporna kemudiannya telah berjaya menahan suspek di kawasan pekan dekat sini kira-kira jam 1.20 tengahari.

“Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Produa Kancil berwarna ungu yang digunakan oleh saspek semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan disini.

Menurut beliau lagi, dalam kejadian kira-kira 2.05 pagi pada Isnin, seorang guru wanita berusia 27 tahun berdepan detik cemas apabila nyaris ditikam oleh  seorang lelaki tidak dikenali yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya.

Katanya ketika kejadian, mangsa turut bergelut dengan suspek dan mengalami kecederaan ringan pada bahagian perut sebelum sempat lari menyelamatkan diri menggunakan pintu di tingkat atas rumah tersebut.

"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Rabu, 1 Mac 2017

Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran

KUDAT : Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah panjang di Kampung Nangka, Matunggong dekat sini tenghari tadi.

Setakat ini, identiti mangsa bagaimanapun belum dikenalpasi dan siasatan masih dijalankan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.06 tengahari sebelum dua buah jentera bersama 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan 12 pintu rumah panjang Jenis tidak kekal dan anggaran keluasan keseluruhan 168 x 24 kaki terbakar 100%. Punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Isnin, 27 Februari 2017

POLIS KUNAK TAHAN 2 WARGA ASING DISYAKI PEMBUAT DAN PENJUAL BOM IKAN

KUNAK : Polis Kunak menahan dua lelaki warga asing kerana disyaki pembuat dan penjual bom ikan di kawasan penemptan pinggir laut di Kampung Kunak 3 dekat sini petang semalam.


Kedua-dua suspek warga Filipina masing-masing berumur 25 dan 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak dalam dua tangkapan berasingan. 

Suspek pertama ditahan ketika sedang memikul sebuah karung guni dalam keadaan mencurigakan dikawasan berkenaan kira-kira 7.05 petang. 

Ketua Polis Daerah Kunak, Supretendan Mohd Nasarudin M. Nasir berkata, saspek cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis namun berjaya ditangkap. 

"Suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan hasil soal siasat serta pemeriksaan lanjut ke atas karung guni didapati mengandungi baja urea dianggarkan seberat 25 kilogram dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu polis kemudiannya menjalankan serbuan kira-kira 2.30 pagi di dua buah rumah berdekatan dan menahan seorang lagi suspek sebelum menemui satu botol bom ikan yg telah siap untuk digunakan, selain sumbu, mancis, wayar, dan lima unit detanator serta peralatan lain.

Polis juga terpaksa mengharungi air laut yang sedang pasang selepas jambatan di perkampungan air tersebut telah dirobohkan oleh penduduk bagi mengelak daripada diserbu oleh pihak berkuasa.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan saki baki pembuat dan penjual bom ikan di daerah ini dan kes disiasat dibawah seksyen 8 Akta bahan letupan 1957," katanya.

Sabtu, 25 Februari 2017

ESSCOM SERIUS TANGANI MASALAH KESELAMATAN DI ESSZONE



LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) komited dan serius menangani pelbagai masalah keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander ESSCOM,  Dato’ Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, ESSCOM yang terdiri daripada gabungan pelbagai agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta disokong oleh bahagian Awam sentiasa memastikan keselamatan pantai timur Sabah berada ditahap yang terbaik.

“Pelbagai langkah-langkah pencegahan telah diambil termasuk mewajibkan semua bot-bot nelayan dan pelancongan mempunyai sistem perhubungan dan komunikasi seperti pemasangan sistem pengesanan automatik (AIS) dan radio VHF supaya mereka boleh melaporkan dengan segera sekiranya berlaku kecemasan seperti kes penculikan ataupun kejadian bot karam di lautan. 

“Walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan pemasangan AIS namun atas faktor keselamatan, kita nasihat semua pengusaha bot pelancongan dan bot nelayan laut dalam memasang alat komunikasi berkenaan untuk keselamatan mereka”, katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pertemuan ESSCOM dengan Masyarakat Kampung Tinagian, Felda Sahabat dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekuitf ESSCOM Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Timbalan Komander ESSCOM Brig. Jen. Hamdan Ismail, Ketua Staf Bahagian Pusat Operasi ESSCOM Brig. Jen. Dato’ Md. Rahim Hj. Mohamad, Ketua Kampung Tinagian, Aziz Linggam dan Pegawai-pegawai Kanan ESSCOM.

Wan Abdul Bari berkata, komunikasi yang efektif, cepat dan pantas antara pasukan keselamatan dengan pengusaha bot adalah elemen penting yang perlu diberi perhatian supaya sebarang tindakan dan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan cepat dan di lokasi yang tepat. 

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua pihak agar melaporkan dengan segera kepada ESSCOM ditalian 089-863181 sekiranya ternampak kelibat individu-individu atau bot-bot tertentu yang tidak dikenali berada di kawasan perkampungan untuk tindakan lanjut termasuk membuat pemeriksaan mengejut bagi menghindari sebarang kejadian kes culik daripada berlaku.

Program turun padang ESSCOM berkenaan bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara Pegawai tertinggi ESSCOM dengan penduduk setempat, selain mendapatkan maklum balas mengenai isu-isu keselamatan yang dihadapi oleh penduduk tempatan di kawasan berkenaan agar dapat ditangani dengan lebih berkesan.












Khamis, 23 Februari 2017

KENINGAU | Guru, 2 pelajar terkena merkuri


KENINGAU : Seorang Guru dan dua pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Ken Hwa dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terkena cecair merkuri daripada alat termometer yang pecah semasa melakukan eksperimen di makmal sekolah pagi tersebut pagi tadi.

Sumber Bomba memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9. 46 pagi sebelum menghantar lapan anggota bersama dua buah jentera ke sekolah berkenaan. 

"Pasukan Bomba melakukan pembersihan menggunakan serbuk sulfur selain mengumpul sisa-sisa merkuri sebelum dilupuskan di tempat yang selamat," katanya. 










TAWAU | LELAKI MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG PACUAN EMPAT RODA

Lelaki maut motosikal bertembung pacuan empat roda

Oleh : Qaulan Jadid

TAWAU : Seorang penunggang motosikal maut manakala rakanya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki merempuh sebuah pacuan empat roda berhampiran simpang Taman Joo Hwa, Jalan Bunga Raya, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada 7.30 malam itu, Mohammad Kaharruddin Darwis, 24, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital, manakala rakannya Mazlan Jan, 22, mengalami kecederaan parah pada bahagian tulang pinggul.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komioner Fadil Marsus berkata, semasa kejadian pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah Batu 3 Jalan Apas menuju ke rumahnya di Taman Joo Hwa.

"Apabila sampai di simpang Tmn Joo Hwa, semasa pemandu membelok hendak masuk simpang tiba-tiba telah terlanggar  motosikal yang dinaiki mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat kemalangan tersebut penunggang dan pembonceng motosikal mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Tawau manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, mangsa (Mohammad Kaharruddin) bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital Tawau kira-kira jam 10.05 malam manakala pemboceng motosikal yang parah juga dirawat di hospital sama.

"Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan pacuan empat roda yang cuai masuk ke simpang sehingga menyebabkan kemalangan dan
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.